Halaman

Rabu, 31 Julai 2013

Kebesaran Ilahi



"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya,serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah),kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)."
(Al-Mulk 67:15)


Merantau Dan Belajar

                     Bumi Allah ini luas.Beruntunglah bagi mereka yang diberi kelebihan untuk merantau ke negara orang dan melihat keindahan ciptaan Ilahi.Allah telah memberi galakan kepada manusia untuk keluar merantau ke serata bumi dan belajar sesuatu dari keagungan ciptaan-Nya.


                     Waktu keluar berjalan-jalan dengan keluarga,banyak perkara yang boleh kita belajar.Merantau dan melihat kejadian Tuhan pastinya kan membangkitkan jiwa.Allah galakkan kita berjalan dan melihat keajaiban ciptaan-Nya.Seolah-olah Allah mahu beritahu manusia,jika bumi ini pun Allah mampu cipta seindah secantik ini,apatah syurga-Nya di akhirat.


                                                            Kehebatan Ciptaan-Nya




             Justeru,syurga Allah itu berkali-kali ganda hebatnya.Keindahan syurga Allah jauh hendak dibandingkan dengan apa yang kita fikir.Apabila kita lihat bumi Allah ini banyak memberikan kemudahan kepada manusia.Keluar dari bumi sumber air yang baik.Padanya ada pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang hidup.Pelbagai jenis haiwan hidup melata sama ada di darat mahupun di lautan.Ini yang membuatkan kita terfikir.Jika bumi dan isinya mampu Allah cipta dengan sangat tersusun dan cantik.Bagaimanalah agaknya keadaan di syurga?
Maka berjalanlah kita di atas muka bumi ini dan akuilah kehebatan dan keagungan Allah SWT.


 Aturan Hidup Manusia

                  Jangan lupa untuk melihat budaya dan kepelbagaian sifat manusia.Mereka berada di tempat yang berlainan dan memiliki cara hidup yang berbeza dengan kita.Sungguh tidak terbayang bagaimana Allah dapat mengawal peraturan hidup manusia serumit ini.Maha Suci Allah!


              Dengan kepelbagaian sifat manusia ini pengakhiran yang akan memisahkan kita di akhirat nanti hanyalah syurga dan neraka.Mereka yang beriman kepada Allah,melaksanakan perintah-Nya dan mengajak manusia ke arah kebaikan dan dimuliakan dengan syurga.Manakala manusia yang ingkar kepada Allah suka melakukan kejahatan dan mengajak orang kepada kemungkaran akan di beri kehinaan di dalam neraka.


Kesimpulan

            Ayuh,lihatlah kebesaran Allah di muka bumi dan berlajarlah.Tiada alasan lagi untuk kita tidak mentaati Allah setelah melihat alam semesta yang indah ditadbir oleh Tuhan yang Maha Hebat!Jom keluar melihat kebesaran Ilahi.

Sendal

"Wahai Tuhan kami!Tidaklah Engkau menjadikan semua perkara ini dengan sia-sia,Maha Suci Engkau,maka perliharalah kami dari azam neraka."
(Ali Imran 03:191)



       

Selasa, 30 Julai 2013

Juwairah Binti Haris ( Penghubung Dakwah Islam)




Dakwah Islam
                                                                   

                     Perjalanan hidup Rasulullah SAW adalah untuk menyebarkan dakwah Islam.Baginda SAW mengorbankan diri,masa,harta,keluarga dan seluruh yang ada padanya untuk membebaskan manusia daripada panahan kemusyrikan kepada ALLAH SWT.Setiap tindakan Baginda SAW adalah strategi untuk menegakkan agama Allah di muka bumi.Salah satunya adalah melalui perkahwinan dengan para ummul mukminin.

                     Salah seorang isteri Baginda SAW adalah Juwairiah binti Haris,anak seorang pemuka Bani Musytaliq yg amat membenci agama Islam.Sebelum Islam,nama Juwairiah adalah Burrah.Dia dibesarkan dalam keluarga yang dihormati masyarakat serta memiliki kecantikan dan kecerdikan.



                                                                 Ikatan Perkahwinan

                      Pertemuan Juwairiah dengan Baginda SAW terjadi apabila kaumnya merancang untuk memerangi tentera Islam.Bapanya,Haris bin Abi Dhirar telah beranggapan sekiranya mereka dapat mengalahkan tentera Islam,kaum mereka akan mahsyur.Walau bagaimanapun,Rasulullah SAW lebih awal memerintahkan tentera Islam memerangi Bani Musytaliq yg ingkar.Dalam kekalahan Bani Musytaliq,Juwairiah turut menjadi tawanan tentera Islam.

                 
                      Juwairiah datang menemui Rasulullah SAW bagi mengadukan keadaanya yg menyedihkan.Dia telah kematian suami dan ayahnya juga melarikan diri.Juwairiah meminta Rasulullah SAW untuk dibebaskan daripada tawanan perang.Rasulullah SAW menawarkan untuk melindungi Juwairiah dan meminang Juwairiah sebagai isterinya.Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Juwairiah menyebabkan Bani Musytaliq dibebaskan daripada tawanan tentera Islam.Menurut Aisyah,salah seorang isteri Rasulullah SAW,dia tidak pernah melihat seorang wanita yang tinggi keberkatan melainkan Juwairiah.


                                                                       Kesimpulan

                     Perkahwinan itu juga menyebabkan bapa Juwairiah,Haris memeluk agama Islam diikuti oleh masyarakatnya.Begitulah strategi dakwah Rasulullah melalui perkahwinan Baginda SAW dengan Juwairiah.Hal ini boleh menjadi pengajaran kepada kita bahawa perkahwinan adalah cara untuk menyampaikan Islam kepada umat manusia.



Ahad, 14 Julai 2013

Hari Pembalasan

                




Pengertian


                     Hari pembalasan bermaksud hari yang akan berlakunya perhitungan bagi setiap makhluk di atas muka bumi ini.Setiap manusia akan mendapat balasan sesuai dengan setiap amalan yang dilakukannya selama di dunia.Jika amalannya baik,maka balasannya juga baik.Jika buruk amalannya,maka balasannya juga buruk kecuali bagi mereka yang beroleh keampunan dari Allah SWT.


Rukun Iman


                     Percaya dengan hari pembalasan merupakan salah satu dari rukun iman.Kita yang mempercayai hari pembalasan pasti akan menjalani hidup berlandaskan jalan dan panduan yang Allah telah tetapkan.Kita yang mempercayai hari pembalasan pasti akan mendokong segala kebaikan dengan harapan untuk mendapat ganjaran dan keredhaan Allah di hari pembalasan kelak.
                     Manusia yang tidak mempercayai hari pembalasan,mempunyai titik perbezaan yang banyak dibandingkan kita yang percaya.Mereka tidak tahu apa tujuan mereka hidup di dunia.Mereka tidak tahu di mana mereka akan pergi sesudah mati.Segala perlakuan dan amalan mereka hanya terbatas di dunia dan mereka tidak berpusing mengejarnya. Inilah persimpangan hidup di antara mereka.


Yang Maha Berkuasa


                    Lalu inilah asas aqidah kita.Kita percaya bahawa ada 'Yang Maha Berkuasa' itu,memegang puncak kuasa yang tertinggi.Dialah pentadbir hari pembalasan,iaitu hari penentuan balasan di akhirat.Dia 'Yang Maha Berkuasa' itu ialah Tuhan yang seumur hidup akan kita sembah,taat dan patuh segala perintah-Nya.Dialah Allah SWT.Tuhan Yang Maha Berkuasa di hari pembalasan.
                    Firman Allah SWT:"(Allah) Yang Menguasai pemerintahan hari pembalasan(hari Akhirat."(Al-Fatihah 01:  4)



Kesimpulan


                    Kita yang mahu mencapai bahagia di hari pembalasan,pasti akan menggandakan kebaikan dan menjauhi segala kejahatan sebelum tibanya ajal.Kita tahu dan sedar,tidak berguna lagi segala amalan kebaikan pada hari pembalasan.Oleh itu,kita akan berusaha melakukan yang terbaik selama kita bernafas di atas bumi Allah SWT.
JOM JADI BAIK!




                   AYUH TINGKATKAN IBADAH DI BULAN RAMADHAN YANG MULIA INI...!
                                                            (5 Ramadhan 1434 Hijrah)

Siti Noor Huda Copyright © 2012 Designed by Ms Farhana Zin